GANDINGAN DUA PEMAIN PALING MAHAL
DI DUNIA: Real Madrid berbelanja besar dengan menggandingkan Gareth
Bale (kiri) dengan Cristiano Ronaldo, yang kededuanya bernilai hampir
200 juta euro, untuk merebut mahkota kejuaraan elit Eropah, Liga
Juara-Juara ke-10-nya.
MADRID:
Juara Italy, Juventus, menghadapi tugas sukar apabila berdepan dengan
Real Madrid di Stadium Santiago Bernabeu dinihari esok bagi mencerahkan
semula peluang mereka dalam pertandingan Liga Juara-Juara.
Juventus hanya mampu mencatat keputusan seri yang mengecewakan ketika
bertemu FC Copenhagen dan Galatasaray dalam dua perlawanan awal mereka
dan berada di tangga kedua Kumpulan B, empat mata di belakang Real.Keyakinan pemain Juventus menjelang perlawanan genting itu, bagaimanapun, menerima tamparan apabila mereka mengalami kekalahan pertama musim ini, tewas 4-2 di tangan Fiorentina Ahad lalu.
Namun, kaptennya, Gianluigi Buffon, bagaikan menjolok sarang tebuan apabila beliau mempersoal dasar pembelian pemain bertaraf bintang kelab gergasi Sepanyol itu.
Buffon, 35 tahun, yang pernah bermain di bawah bimbingan Carlo Ancelotti sewaktu jurulatih Real itu memimpin mereka bersama Juventus, membuat komen bahawa pembelian dua pemain termahal di dunia, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo, yang kededuanya bernilai hampir 200 juta euro ($274 juta), tidak dapat menjamin kejayaan.
"Hakikatnya dalam bola sepak, tidak mencukupi untuk menang sahaja. Perancangan, keseimbangan dan sifat sabar adalah lebih baik. Adanya wang memang permulaan yang baik tetapi ia sendiri tidak mencukupi," kata Buffon kepada akhbar harian Sepanyol, Marca, kelmarin.
Real membelanjakan lebih 600 juta euro membeli pemain bagi tempoh lima tahun lalu dalam usaha memenangi mahkota Eropah ke-10-nya.
Perbelanjaan itu, menurut laporan Prime Time Sport Football Transfer Review bulan lalu, tiga kali lebih banyak daripada jumlah yang dibelanjakan Bayern Munich iaitu 227 juta euro.
Hanya Manchester City dapat menyaingi jumlah itu apabila ia mengeluarkan hampir 549 juta euro bagi membeli pemain.
Sementara itu di Munich, Jerman, pemain sayap Belanda, Arjen Robben, menggesa Bayern membuktikan kehebatan mereka selaku juara Eropah apabila berdepan dengan Viktoria Pilsen dari Republik Czech esok.
Selepas mencatat kemenangan memberangsangkan ke atas CSKA Moscow dan Manchester City, Bayern menduduki persada Kumpulan D.
Meskipun Bayern tidak menghadapi masalah mempamerkan permainan cemerlang ketika menentang kelab besar, ada kalanya pasukan itu terkial-kial juga apabila berdepan dengan kelab kerdil dalam Bundesliga Jerman.
SAMBUNG BACAAN...
No comments:
Post a Comment