Jana Pendapatan

Saturday, 5 October 2013

300 pemohon suaka maut

DIBAWA KE DARATAN: Para pekerja penyelamat mengusung beg mayat daripada bot pengawal pantai dan menyusunnya di dermaga Lampedusa kelmarin.

Bot bawa warga Afrika menuju Eropah terbakar dan karam di perairan Italy
LAMPEDUSA (Italy): Sehingga 300 orang dikhuatiri terkorban apabila sebuah bot membawa warga Afrika yang ingin memohon suaka ke Eropah terbakar dan karam di perairan pulau selatan Italy, Lampedusa, kelmarin.
Bot nelayan itu dilaporkan membawa sehingga 500 penumpang.
Hanya 155 orang telah berjaya diselamatkan.
Di laut, kapal pengawal pantai Italy, bot nelayan tempatan dan helikopter meneruskan usaha mencari mangsa semalam.
Awal dari itu, kru penyelamat membawa berpuluh-puluh beg mayat pelbagai warna dari bot pengawal pantai dan menyusunnya di dermaga Lampedusa.
"Kebanyakan mereka tidak tahu berenang. Jadi, hanya mereka yang kuat yang terselamat," kata Cik Simona Moscarelli dari Pertubuhan Antarabangsa bagi Penghijrahan di Rome.
Sehingga kini, hanya tiga daripada 100 penumpang wanita yang berjaya diselamatkan dan tiada daripada 10 kanak-kanak selamat.
Kapal itu dilaporkan bertolak dari ibu kota Libya, Tripoli, untuk membawa warga dari Eritrea, Ghana dan Somalia, kata jurucakap pengawal pantai Italy, Encik Marco Di Milla.
"Yang paling sedih ialah melihat mayat kanak-kanak. Mereka tidak mempunyai peluang untuk diselamatkan. Mereka berhijrah untuk masa depan lebih baik tetapi harapan itu terkubur dengan sekelip mata.. Sepanjang tempoh saya bertugas di sini, saya tidak pernah melihat kejadian sedahsyat ini," kata seorang doktor, Encik Pietro Bartolo.
Para penumpang yang terselamat berkata mereka telah membakar selimut di atas bot mereka untuk menarik perhatian para pengawal pantai apabila bot mereka dinaiki air.
Namun, dakwa mereka, awal dari itu kapal-kapal nelayan yang lalu di situ tidak mengendahkan mereka.
Lampedusa merupakan salah satu laluan masuk ke Kesatuan Eropah (EU) bagi para pemohon suaka dari utara Afrika atau timur Mediterranean.
Mengulas, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, berharap bencana itu akan menjadi mangkin bagi meningkatkan usaha melindungi hak golongan pendatang tidak sah.
Sekitar 17,000 pendatang tidak sah dianggarkan telah terkorban di laut dalam perjalanan ke Eropah sepanjang 20 tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri Italy, Encik Angelino Alfano, menggesa agar lebih banyak bantuan diberikan oleh EU untuk menangani masalah kebanjiran pelarian, yang disifatkan sebagai "tragedi Eropah".
Sekitar 25,000 pendatang tidak sah telah mendarat di pantai-pantai Italy sepanjang tahun ini.
Jumlah ini tiga kali lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan pendatang yang mendarat pada 2012
SAMBUNG BACAAN

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

Lain-lain bacaan