Jana Pendapatan

Thursday 18 July 2013

Lapangan terbang terpaksa ditutup

HUTAN MASIH TERBAKAR, JEREBU MAKIN MENEBAL: Gambaran dari udara ini menunjukkan suasana jerebu akibat kebakaran hutan yang masih berlaku di wilayah Riau, Indonesia, semalam, yang turut menjejas mutu udara di negara jirannya. - Foto REUTERS

PEKANBARU (WILAYAH RIAU): Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II (SSK II) di Pekanbaru, di wilayah Riau, terpaksa ditutup buat sementara waktu antara 8 dengan 9 pagi semalam, kerana jerebu tebal akibat kebakaran di hutan Sumatera.
"Darjah penglihatan adalah 2,000 meter pada 5 pagi. Tetapi ia turun kepada 1,500 meter pada 6 pagi," kata Ibnu Hassan, pengurus bertugas di lapangan terbang itu di Pekanbaru, semalam, lapor agensi berita Antara News.
Beliau berkata darjah penglihatan pada 7 pagi semalam semakin teruk apabila ia turun kepada 1,000 meter, sebelum pihak pengurusan lapangan terbang menghentikan semua jadual penerbangan apabila darjah penglihatannya turun kepada 800 meter pada 8 pagi.
"Beberapa penerbangan oleh syarikat penerbangan seperti Garuda Indonesia, Lion Air dan AirAsia terpaksa dialihkan ke lapangan terbang lain dekat Riau.
"Garuda dan Lion mengalihkan pesawat mereka ke Lapangan Terbang Medan manakala AirAsia ke Kuala Lumpur, Malaysia," kata beliau lagi.
Menurutnya, penutupan lapangan terbang itu adalah kali pertama dilakukan di SSK II.
"Lapangan terbang dibuka semula pada 9 pagi selepas keadaan udara bertambah baik," tegas Ibnu Hassan.
Jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan dekat Riau akibat kebakaran hutan di wilayah itu sejak minggu lalu.
Kebakaran hutan itu dan jerebu yang dihasilkannya yang merentas sempadan turut mengganggu beberapa kegiatan harian dan mencetuskan sungutan daripada negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, Menteri Ehwal Luar Indonesia, Encik Marty Natalegawa, berkata masalah jerebu itu seharusnya ditangani secara bersama oleh semua pihak, dan bukan setakat dijadikan isu yang mencetuskan keadaan tuduh-menuduh antara satu sama lain, menurut laporan Antara News itu, semalam.
"Kebakaran dan jerebu telah berlaku di beberapa negara, bukan hanya di Indonesia.
"Pada masa lalu, Amerika Syarikat dan Australia juga menghadapi masalah yang sama," kata beliau dalam satu sidang akhbar, semalam.
Beliau menggesa supaya diadakan kerjasama antara semua pihak dan rakyat negara-negara yang terjejas untuk membantu memadamkan kebakaran itu.
"Pendekatannya harus sesuatu yang membuahkan kerjasama dan perkongsian, bukan sesuatu yang membawa kepada saling tuduh-menuduh di sini dan di sana. Ayuh tumpukan kepada usaha memadamkan kebakaran terdahulu," kata Encik Marty kepada sidang akhbar itu, seperti yang dilaporkan oleh versi dalam talian akhbar The Jakarta Post.
Semasa mengulas reaksi sesetengah negara jiran terhadap isu jerebu itu kepada wartawan selepas mesyuarat tergemparnya yang turut dihadiri ketua eksekutif Agensi Sekitaran Negara (NEA) Singapura di Jakarta, semalam, Menteri Penyelarasan Kesejahteraan Rakyat Indonesia, Encik Agung Laksono, menyelar Singapura supaya usah "berkelakuan seperti seorang kanak- kanak yang hanya berbuat bising".
"Ini (isu jerebu) bukan apa yang dikehendaki negara Indonesia, ia kejadian alam semula jadi," ujarnya.
Singapura mengalami mutu udara terburuknya semalam, apabila Indeks Bahan Pencemaran Udaranya (PSI) mencecah paras 371 pada 1 petang.
Bahagian selatan Semenanjung Malaysia, khususnya di Muar, Johor, pula mengalami mutu udara yang 'membahayakan', apabila bacaan Indeks Pencemaran Udaranya (IPU) mencecah paras 383 pada 11 pagi hari yang sama.
Kelmarin, Agensi Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik Indonesia (BMKG) berkata sebanyak 148 'titik panas' telah dikenal pasti di wilayah Riau.
Ini merupakan jumlah paling banyak yang pernah berlaku di pulau Sumatera, menurut Antara News.

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

Lain-lain bacaan