Jana Pendapatan

Monday, 12 August 2013

Tarik balik perintah berkurung lepas rusuhan reda



BERJAGA-JAGA: Komando pasukan separa tentera Pasukan Petugas Khas (STF) semalam berkawal di luar masjid yang rosak di Colombo setelah diserang sekumpulan perusuh kelmarin. - Foto AFP


COLOMBO: Polis Sri Lanka telah menarik balik perintah berkurung yang dikenakan ke atas sebuah kejiranan Colombo semalam sehari setelah kumpulan perusuh yang dipimpin penganut Buddha menyerang sebuah masjid dan meningkatkan ketegangan antara kaum di negara itu.
Insiden serangan itu juga menyebabkan masyarakat minoriti Islam khuatir lebih banyak keganasan akan berlaku.
Beratus anggota polis, termasuk skuad antirusuhan dan askar elit, komando Pasukan Petugas Khas, terus berjaga-jaga di daerah Grandpass, Colombo, menyusuli keganasan semalaman yang mencederakan sekurang-kurangnya empat orang.
"Perintah berkurung ditarik balik pagi ini (semalam), tetapi kami pastikan ramai anggota polis masih berada di kawasan ini," kata seorang jurucakap polis.
Keganasan itu tercetus kerana sebuah kuil Buddha berdekatan membantah pembukaan sebuah masjid baru di kawasan itu.
Para ulama Islam negara itu telah melahirkan keprihatinan terhadap kejadian yang berlaku kelmarin.
"Kami terkejut kerana kami fikir keadaan sudah mula reda. Dengan serangan ini, kami mula bimbang lagi dan kami lihat trend ini (anti-Muslim) berterusan," kata Encik Fazin Farook, jurucakap badan ulama tertinggi Sri Lanka, All Ceylon Jamiyyathul Ulama.
Encik Farook menarik perhatian bahawa keganasan terbaru itu berlaku hanya lima bulan setelah satu kempen anti-Muslim berkesudahan dengan dua perniagaan milik orang Islam di luar ibu kota dibakar pada Mac lalu.
"Ada anggota polis dikerahkan agar menjaga masjid, tetapi malangnya mereka tidak dapat menjaga keamanan. Masyarakat (Islam) sangat bimbang dan prihatin tentang keselamatan mereka," kata Encik N. M. Ameen, Presiden Majlis Islam Sri Lanka, badan penaung bagi kumpulan persatuan sivil Muslim.
Keempat-empat mangsa yang cedera akibat serangan itu, termasuk dua anggota polis, masih dirawat di hospital semalam. - AFP.

No comments:

Post a Comment

Busuk.com

Lain-lain bacaan